Pintu neraka tiba-tiba terbuka. Syaitan-syaitan dalam sel biasa mula berkeliaran ke dunia manusia. Syaitan bermata hitam bertindak liar dan merasuk seluruh penghuni pekan. Siapa saja yang dirasuk syaitan, matanya akan bertukar menjadi hitam, tidak kira pelayan bar, pemandu jentolak, pemetik buah oren, ataupun surirumah yang sedang hamil. Pekan yang aman damai bertukar huru-hara.
Malaikat yang lari dari syurga saling berbunuhan. Para malaikat saling mementingkan agenda masing-masing. Lucifer, pencetus huru-hara dan ketua syaitan yang baru bebas mula merencanakan hari kiamat. Perancangan yang penuh rapi dan teliti. Mengkucar-kacirkan seluruh umat manusia sebelum menghancurkan segala isi bumi.
Hari kiamat hampir menjadi nyata. Asap hitam keluar dari mulut seorang remaja perempuan apabila pangkal lehernya ditusuk dengan pisau sakti oleh seorang pemburu syaitan. Seorang lagi pemburu syaitan sedang asyik menaburkan seguni garam kasar disekeliling rumah kayu dua tingkat untuk dijadikan tempat berlindung. Zon bebas syaitan.
Jalan raya sunyi sepi. Loceng gereja berbunyi sendiri. Sang paderi baru sahaja dibunuh oleh seekor syaitan betina bernama Mary. Jantung paderi diangkat keluar dan digantung pada pemegang pintu gereja. Mentol lampu berkelip-kelip sebelum terbakar. Aura malaikat yang baru sampai memecahkan seluruh tingkap dan almari kaca berdekatan. Malaikat dalam jasad pinjaman seorang manusia tak berdosa.
Sedang di negeri lain, para utusan mulai mendapat wahyu. Wahyu tentang hari kiamat dari Tuhan, kata mereka. Malaikat penjaga manusia perlu mencari Tuhan yang katanya baru pergi dari syurga. Cuma Tuhan satu-satunya yang dapat membantu dua orang pemburu syaitan bagi menghalang Lucifer dan rancangan hari kiamatnya. Di mana Tuhan?, tanya si malaikat penjaga manusia.
**agak-agak iman tak kuat, boleh terpesong juga akidah kalau tengok Supernatural ni sampai habis, kan?