Gadis krayon buncho.

Dengan sekotak krayon buncho, dia lukis objek secara randum. Pokok, awan, hati, orang lidi, daun, dan tali pinggang. Lukisannya semua hidup. Bentuk awan yang baru dia lukis kelihatan senget dan mendung.

Seekor rama-rama yang baru muncul dan mahu singgah pada sehelai daun yang sedang bergerak-gerak ditiup angin, tiba-tiba berubah haluan. Rama-rama terbang ke utara. Langit di sana masih cerah, dan awannya lebih tipis. Dia hanya mampu melihat rama-rama terbang pergi.

Jari tangannya yang panjang dan kurus, masih ligat melakar objek baru. Kali ini dia lukis seekor arnab dengan sepasang telinga yang malas. Sengaja dia jatuhkan telinga arnab ke depan, kerana dia belum pandai melukis mata haiwan. Sudah berkali-kali dia cuba, tapi tak berjaya.

Pemadam bentuk buah stoberi ranum yang baru saja tadi dia beli dengan seorang lelaki yang sebelum ini menjual beg tangan dan perhiasan wanita, menjadi hitam dan mulai hilang wangi.

Arnab telinga malas kelihatan jinak dan ramah. Ia melompat-lompat girang dihujung kakinya sambil menggigit sehelai rumput. Dia ketawa kecil melihatkan gelagat si arnab sambil angin terus mengusap wajahnya yang tampak pucat. Topi kuning yang dipakainya tadi terjatuh dan dibawa lari oleh sekumpulan tupai tiba-tiba.

Awan yang mendung mulai menangis. Hujan turun perlahan. Bunyi cengkerik bersahutan. Dia capai arnab telinga malas yang sedang menggigil kesejukan dan meletaknya ke atas riba. Dia dakap si arnab kemas-kemas. Tapi, air hujan yang mulai ganas, menembusi tubuhnya dan mencarik bulu arnab telinga malas sampai luruh semua.

Perlahan-lahan tubuhnya mulai kebas dan mencair. Kertas lukisan dan krayon buncho yang lumat digigit air bergomol asyik dengan  selut yang hanyir. Pandangannya makin kabur. Tubuhnya relai satu-satu, lalu diseret hujan ke tengah sungai yang airnya mengalir deras.