Unikorn putih dari jendela sakti, yang haus.

Kata Laili, jendela biliknya jendela sakti. Jendela biliknya seperti sebuah tirai besar yang memisahkan antara dua dunia yang berbeza dimensi.

Pernah beberapa kali Laili terserempak dengan seekor beruang tedi berbulu putih lebat yang keluar dari serpihan kaca jendela yang retak akibat terkena hentakan sebutir tahi bintang, sambil menjijit sebuah raga berisi penuh lolipop dan gula-gula.

Laili mahu menegur, tapi beruang tedi hilang tiba-tiba.

Langit masih malam, tiada bintang. Hujan turun renyai-renyai. Angin sejuk dari luar menghembus masuk melalui retak kaca jendela. Langsir alas yang agak jarang terselak ke atas.

Laili duduk dibucu katil sambil menggigit bertih jagung sebutir-sebutir. Bola matanya tak lepas dari memandang ke arah jendela. Jendela sakti, katanya. Angin yang masuk membuatkan bertih jagung Laili menjadi sejuk dan keras.

Tiba-tiba satu pancaran cahaya putih yang tajam memancar keluar dari jendela sakti terus ke mata Laili. Laili menggenyeh matanya yang sedikit perit dengan tangan yang masih dipenuhi karamel bertih jagung.

Mata Laili pedih. Dia lihat jendela sakti, kain langsirnya bergerak-gerak, tapi bukan ditiup angin. Ada sesuatu mahu keluar, kata Laili. Bunyi loceng bergemerencing.

Ada objek asing mahu keluar dari serpihan kaca jendela yang retak. Laili yakin, itu bukannya beruang tedi berbulu putih lebat seperti yang selalunya, bukan. Tiba-tiba Laili lihat kelibat seekor unikorn putih, nampak megah dan mewah. Unikorn putih duduk dekat dengan Laili.

"Laili, aku haus..", kata unikorn putih.

Laili melirik unikorn putih sekilas, dan kembali mengunyah bertih jagung.