Taman manisan dalam lemari kaca.

Aku mahu main sembunyi-sembunyi, kata Laili. Laili menjeling ke arah Norli, adik Laili. Norli yang sedang khusyuk menonton National Geographic, mengangguk tanda setuju sambil mengangkat dua jari ke arah birai dahi.

Laili sembunyi, Norli cari. Bilang satu sampai seratus, ujar Laili serius. Norli menekupkan muka ke tengah bantal dan mula membilang; satu, dua, tiga, ..

Laili meluru masuk ke kamar ibu, berlari-lari sambil mengunyah sebiji oreo. Mulutnya terkumat-kamit. Matanya tiba-tiba tertangkap ke arah meja solek, atau lebih tepat ke arah sebatang gincu. Batang gincu yang berkilat seperti warna air memanggil-manggil nama Laili, minta dikucup.

Laili gigit oreo sedikit, sambil mendekat ke arah sebuah lemari kaca. Lemari kaca dengan pintu gelongsor ibu tampak canggih. Tubuhnya sembilan puluh sembilan peratus bersalut kaca mewah. Laili tolak pintu sedikit, dan masuk. Dia katup pintu gelongsor dari dalam.

Laili menangkap suara Norli yang sayup-sayup masih membilang dan membilang; dua puluh lima, dua puluh enam..

Pipi Laili disapa bayu dingin tak semena-mena. Laili tergamam. Bola matanya seperti ditarik oleh satu pancaran cahaya yang muncul secara tiba-tiba. Dari dalam perut lemari kaca yang tadinya gelap-gelita kini terang-benderang disimbah cahaya.

Laili nampak sebuah padang ragut besar yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Ditengah-tengahnya berdiri megah sebuah rumah kecil beribu warna. Matanya seperti terpukau bila menyedari rumah kecil beribu warna ternyata adalah susunan cantik ribuan manisan dan gula-gula.

Objek-objek kecil yang berserakan di keliling rumah kecil yang bentuknya seperti pokok dan jambangan-jambangan bunga ternyata adalah barisan oreo dan lolipop yang digarap sempurna.

Sebatang sungai susu coklat, tepat di sebelah rumah kecil, tampak garang dan airnya mengalir deras.

Dalam galak suara sungai susu coklat yang berselang-seli dengan rengekan cengkerik betina, masih kedengaran sayup-sayup suara Norli; tujuh puluh tujuh, tujuh puluh lapan..