siri Matt dan Unikon.

Yang gemuk itu namanya Edward. Yang badannya kurus dan sedikit lonjong itu namanya John. Manakala yang disebelah John, namanya Matt. Mereka adalah sekumpulan babi ternak dari ladang cina Ah Keong. Mereka babi ternak gred A. Terbaik dari ladang, kata cina Ah Keong. Warna mereka merah jambu, seperti babi-babi ternak cina Ah Keong yang lain, kecuali Matt. Warnanya kelabu kehitam-hitaman. Hidungnya juga sedikit panjang dan mendongak ke atas. Bulunya keras.

Menurut Rocky, seekor babi tua yang kudung sebelah kakinya akibat penyakit kencing manis, ibu Matt, (Peggy namanya) dulu pernah diperkosa seekor babi hutan liar yang entah macam mana boleh tersesat masuk dalam kawasan kandang mereka. Babi hutan jantan yang sedang dalam mood mengawan itu telah memperkosa peggy sampai hamil. Maka sebab itulah Matt lahir bukan seperti babi-babi ternak yang lain. Dan sebab itu jugalah Peggy tidak mengaku Matt itu anaknya. Semenjak hari itu, Matt dijaga oleh Rocky.

Sebenarnya bukan itu sahaja bala yang menimpa Matt. Ada juga yang lain. Disebabkan kondisinya yang sangat berbeza, Matt juga telah dipulaukan oleh babi-babi ternak yang lain. Matt pembawa sial, kata mereka. Pernah juga beberapa kali cina Ah Keong mahu membuang Matt ke hutan diseberang jalan, tapi dihalang oleh jenny, anaknya. Jenny berkeras mahukan Matt terus tinggal di situ. Jenny sayangkan Matt. Matt serupa dengan 'The Ugly Duckling', kata Jenny satu hari.

Setiap hari, Jenny sering menemani Matt bermain. Jenny seronok melihat Matt bermain kejar-kejar dengan Edward dan John. Punggung Edward yang bulat dan tak ubah seperti sebiji pau gergasi yang sedang berlari itu membuatkan Jenny ketawa terbahak-bahak. Jenny juga selalu membawakan mereka makanan. Kadang-kadang epal, coklat, roti, atau ayam goreng. Edward suka ayam goreng. Dan mungkin sebab itu badannya sedikit montel.

Sebelum pulang, Jenny selalu membacakan mereka buku cerita. Matt sukakan kisah 'The Ugly Duckling'. Matt serupa dengan 'The Ugly Duckling', kata Jenny. Matt mahu jenny bercerita tentang 'The Ugly Duckling' padanya. Oink oink, kata Matt. Jenny seolah mengerti bahasa babi. Dia membacakan kisah itu berulang dan berulang kali.

"Anak itik yang hodoh akhirnya bertukar menjadi seekor angsa putih yang cantik dan bercahaya seperti bidadari.."

Kisah 'The Ugly Duckling' terngiang-ngiang ditelinga Matt. Semenjak hari itu, Matt yakin akan ada satu keajaiban pada dirinya. Matt pasti satu hari nanti, dia pasti akan bertukar menjadi seekor unikon yang cantik dan bercahaya seperti bidadari, pasti!

Hidungnya yang sedikit panjang dan mendongak ke atas itu kembang kuncup.