Dunia makin menghampir ke penghujung. Wap-wap panas terus dari percikan bulat sang matahari menghempap terus ke perut bumi. Tiada lapis ozon menangkis serangan bertubi kuasa ultra ungu dan zarah kelabu. Air subsidi dari kerajaan langit, sesekali tumpah bersahaja. Sedikit, dan sedikit. Kepala pili hujan sepertinya masih ketat dan kejap. Bikin penghuni bumi, runsing dan tertekan.
Pelbagai konferensi mula dianjurkan saban hari. Setiap warga dari segenap ceruk dunia tampil menyumbang akal dalam melengkapkan rangka rancangan menyelamatkan penghuni bumi. Wakil-wakil wanita pertama dari setiap benua mula rancak bersidang serta berbahas tentang musibah jangka panjang yang bakal menimpa kaum wanita sedunia, serta lain-lain isu berbangkit tentang hak wanita dalam masyarakat dunia hari ini.
Saban hari dunia makin kacau. Tiupan serunai dan hentakan padat rebana ubi kedengaran sayup-sayup. Kawanan burung migrasi yang baru berhenti hinggap melepas lelah di sebatang pohon pain, tiba-tiba terbang randum dan berlanggar sesama sendiri. Frekuensi halus bernada maha tinggi mengejutkan kawanan burung yang sedang beristirehat dan mengasah paruh itu.
Siang dan malam seperti magnet bersamaan kutub. Sang mentari semakin hari semakin ralit membakar sisa-sisa pohon kayu dan hutan simpan sampai-sampai bulan merajuk. Bulan muncul sekejap, dan kembali menyorok. Ekosistem alam makin mengarut. Isu rantai makanan dalam sukatan matapelajaran sains darjah tiga mulai menjadi topik hangat dalam debat parlimen.
Mana mungkin katak makan ular, Yang Berhormat! kata ahli parlimen Kinabatangan. Audien mengetuk meja.
Sedang disatu penjuru kelihatan Lucifer mula menanggalkan mangga pertama pintu neraka. Ikatan kemas pada leher anjing-anjing dari neraka level tiga mulai dia longgarkan. Dia tersenyum sinis. Menampakkan baris giginya yang panjang dan kurang kemas susun aturnya.
2012, kata Lucifer.
2012, kata Lucifer.