Sunyi. #randum

Tahu tak, sunyi tu seperti syaitan, yang kau tak pernah nampak, tapi kau tahu 'dia' ada. Sunyi dalam konteks seorang aku, seperti panggilan telefon dari manusia asing yang dibuat randum. Dia angkat gagang, tekan butang randum dan mengena ke talian aku. Aku angkat, dan dia letak. Dia panggil lagi, dan lagi. Dan aku angkat, dan dia letak. Lagi dan lagi, berulang kali.

Dalam konteks seorang aku lagi, sunyi boleh aku campakkan dalam bakul emosi temporari, yang dia boleh datang dan pergi, sesuka hati. Tak perlukan sebarang tiket belakang pentas untuk mencabul jiwa sampai pintu hati. Sunyi boleh buat aku menangis, dan ketawa dalam satu masa. Sayang dan benci, dengki dan iri, kocak. Tambah pusing, dan makin gila.

Tandakan satu titik mula, dan tetapkan satu titik akhir. Ambil sekaki payung warna-warni, berseragam normal, sepatu ranggi, jalan berundur dan cuba pilih untuk menuruni cerun tinggi. Tambahkan kelajuan, cepatkan satu langkah menjadi dua. Akan aku buat nanti, tanpa pandang belakang. Cuba tengok, sampai atau tidak ke destinasi. Kalau tersadung, aku jatuh, dan aku mati. Kalau.

Separuh Jiwa Dibawa Lari Orang.

Laili membilang langkah satu-satu. Telapak kakinya yang bersaiz enam ngam-ngam, menghempas tanah dengan penuh rasa hampa dan kecewa. Sedang bola matanya dia tancapkan ke dada langit, mengikut gerakan awan dan kawanan burung lelayang yang terbang randum dan bersahaja.

Ribuan pohon kemuncup yang tumbuh subur di bawah pohon besar tepi padang sebelah sana tampak cantik ditiup angin sepoi-sepoi. Lengggokan batang kemuncup dari bawah hingga ke hujung kelihatan seolah-olah seperti penari makyong yang sedang menari asyik penuh penghayatan.

Telinga Laili tiba-tiba menangkap pada suara tupai. Benar, dua ekor tupai kelihatan sedang berlawan sesama sendiri berebutkan sebiji kacang. Tupai yang badannya yang lebih besar sedikit dan berekor lebih kembang dari yang lagi satu kelihatan ganas mencakar muka dan tapak tangan lawannya. Senario biasa, dalam dunia haiwan, sementelah dunia manusia. Yang besar pasti menang, pasti.

Bola matanya yang bundar tiba-tiba terpandang pada sepasang cengkerik jantan-betina yang sedang asyik masyuk bersenggama atas sebatang pohon keladi. Suara cengkerik yang entah mana satu jantan dan mana satu betinanya, makin nyaring sampai menggesel dinding gegendang.

Laili pandang sayu, redup matanya berkaca tiba-tiba. Jiwa Laili rasa kosong. Separuh dirinya sudah hilang, dibawa lari si pencuri sialan.

Muak.

Dan masuk hari ni, genaplah tiga puluh lapan hari aku bergelar kuli. Itu secara kasar, sebab aku malas nak kira rumit-rumit dan tolak hari cuti. Randum saja. Dan bila masuk hari ke tiga puluh lapan ini juga, entah sudah ke berapa ratus puluh kali aku mengeluh pada makhluk keliling tentang ketidakpuasanhati. Belum kira lagi sesi berdialog dengan jag air dan plastik megi.

Kau tahu, ingat senang buat kerja yang tak setimpal dengan gaji? Kadang-kadang aku mahu menyumpah semua makhluk dari kanan ke kiri, dan dari atas langit sampai pusat bumi. Dan kadang-kadang aku rasa lagi senang buat urusan dengan jag air atau plastik megi.

Masuk hari ke tiga puluh lapan kerja ni, aku dah jumpa banyak jenis manusia. Manusia bodoh, manusia pandai, baik hati, dan kurang ajar. Aku melayu tipikal, dan stigma pemikiran aku juga tahap melayu tipikal, dulu. Pada aku, cina dan india bangsa kurang ajar dan tak pandai nak hormat orang (sesetengahnya). ITU DULU.

Sekarang, baru aku sedar yang semua tu BOHONG belaka. Sebenarnya melayu pun dua kali lima. Bangsa melayu, agama Islam tapi perangai..aku yakin kau tak nak tahu seperti siapa atau apa. Aku sebagai melayu, sumpah rasa malu. Mana adab sopan ketimuran yang kau sanjung-sanjung, canang-canang satu dunia? Mana? Atau sekadar melayu pada keturunan, dan Islam pada kad pengenalan?

Mungkin.

Edisi randum 2011 : Jalan ke Neraka.

Dunia makin menghampir ke penghujung. Wap-wap panas terus dari percikan bulat sang matahari menghempap terus ke perut bumi. Tiada lapis ozon menangkis serangan bertubi kuasa ultra ungu dan zarah kelabu. Air subsidi dari kerajaan langit, sesekali tumpah bersahaja. Sedikit, dan sedikit. Kepala pili hujan sepertinya masih ketat dan kejap. Bikin penghuni bumi, runsing dan tertekan.

Pelbagai konferensi mula dianjurkan saban hari. Setiap warga dari segenap ceruk dunia tampil menyumbang akal   dalam melengkapkan rangka rancangan menyelamatkan penghuni bumi. Wakil-wakil wanita pertama dari setiap benua mula rancak bersidang serta berbahas tentang musibah jangka panjang yang bakal menimpa kaum wanita sedunia, serta lain-lain isu berbangkit tentang hak wanita dalam masyarakat dunia hari ini.

Saban hari dunia makin kacau. Tiupan serunai dan hentakan padat rebana ubi kedengaran sayup-sayup. Kawanan burung migrasi yang baru berhenti hinggap melepas lelah di sebatang pohon pain, tiba-tiba terbang randum dan berlanggar sesama sendiri. Frekuensi halus bernada maha tinggi mengejutkan kawanan burung yang sedang beristirehat dan mengasah paruh itu.

Siang dan malam seperti magnet bersamaan kutub. Sang mentari semakin hari semakin ralit membakar sisa-sisa pohon kayu dan hutan simpan sampai-sampai bulan merajuk. Bulan muncul sekejap, dan kembali menyorok. Ekosistem alam makin mengarut. Isu rantai makanan dalam sukatan matapelajaran sains darjah tiga mulai menjadi topik hangat dalam debat parlimen.

Mana mungkin katak makan ular, Yang Berhormat! kata ahli parlimen Kinabatangan. Audien mengetuk meja.

Sedang disatu penjuru kelihatan Lucifer mula menanggalkan mangga pertama pintu neraka. Ikatan kemas pada leher anjing-anjing dari neraka level tiga mulai dia longgarkan. Dia tersenyum sinis. Menampakkan baris giginya yang panjang dan kurang kemas susun aturnya.

2012, kata Lucifer.